fb fb fb fb fb

Johor perkenal tiga kadar zakat fitrah baharu tahun ini

Johor memperkenalkan kadar zakat fitrah baharu khusus kepada pengguna beras Super Wangi dan beras Basmathi

BATU PAHAT, 7 Mac- Johor memperkenalkan kadar zakat fitrah baharu khusus kepada pengguna beras Super Wangi dan beras Basmathi iaitu pada kadar RM20.00.

Sementara itu bagi pengguna beras Super Tempatan dikenakan zakat fitrah sebanyak RM7.00 manakala pengguna beras import dikenakan RM12.00.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kadar maksimum RM20 dilancarkan bagi memberi peluang kepada umat Islam berpendapatan tinggi, untuk membayar kadar zakat fitrah baharu.

"Pada tahun ini, tiga kadar diperkenalkan kerana kita melihat kepada kepelbagaian jenis makanan asas beras yang dimakan oleh orang Islam di Johor.

"Pastilah mereka yang sederhana atau yang susah, mereka akan dibantu dan menerima zakat fitrah," katanya dalam Program Majlis Agama Islam Negeri Johor Kan Ada di sini.

Ketika ini, seramai 1,660 amil telah dilantik seluruh negeri itu dan kaedah pembayaran zakat kepada mereka kekal menjadi medium utama berbanding pembayaran secara dalam talian.

Unjuran pungutan zakat fitrah pada tahun ini dijangka sebanyak RM24.29 juta dengan anggaran 2.39 juta pembayar.

Pecahan jumlah itu melibatkan 15 peratus pembayar kadar RM7.00, 70 peratus pembayar kadar RM12.00 dan 15 peratus pembayar kadar RM20.00.

Dalam pada itu Mohd Fared turut menggesa umat Islam di Johor supaya melakukan pembayaran zakat fitrah pada awal Ramadan, bagi membolehkan bantuan disampaikan kepada golongan sasar untuk persiapan Aidilfitri.

Kadar bantuan Aidilfitri tahun ini adalah RM14.62 juta akan disalurkan kepada 6,911 ketua keluarga fakir dan 31,125 ketua keluarga miskin masing-masing menerima RM400 dan RM300.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI