fb fb fb fb fb

Johor akan kaji berhubung senarai 16 peruntukan Enakmen Syariah Kelantan terbatal

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 11 Februari - Kerajaan Negeri Johor akan membuat kajian berhubung keputusan Mahkamah persekutuan Putrajaya yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia bagi memastikan apa sahaja yang diputuskan di peringkat negeri sentiasa berselari dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, penelitian rapi perlu dibuat bagi menutup ruang terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mengambil kesempatan diatas kelangkaan undang-undang negeri.

"Di peringkat Johor kita perlu membuat kajian lebih teliti kerana kita pun tidak mahu bercanggah dengan apa yang diputuskan di peringkat persekutuan yang nanti berbeza dengan apa yang diputuskan di peringkat negeri. Jadi ini merupakan satu perkara yang sangat sensitif yang perlu dikaji dengan cukup rapi," kata Onn Hafiz, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Johor sebelum itu menghadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO Johor juga mempunyai pandangan sama dengan UMNO Pusat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

"Jika perlu ada pindaan perlembagaan, maka kita akan bincangkan diperingkat tertinggi untuk memperkasa kan kedudukan Mahkamah Syariah," kata Ahmad Maslan, di sini.

Kelmarin Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut.

TETITIA YUSOFF