fb fb fb fb fb

Johor adakan rundingan berkaitan bayaran gaji pekerja berkemahiran

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 28 Julai - Kerajaan Johor sedang berunding dengan beberapa sektor pekerjaan bagi memastikan gaji pekerja berkemahiran berada pada kadar 50 peratus daripada gaji yang ditawarkan di Singapura.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tawaran gaji lebih tinggi dapat menggalakkan rakyat Johor mencari pekerjaan di negeri sendiri.

Ketika ini, kira-kira 300,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura berikutan tawaran gaji yang lebih besar.

"Maksudnya, kalau RM14,000 di sana, di sini dia patut bayar RM7,000. Kita perlu cari cara untuk pastikan orang Johor, rakyat Malaysia mahu kerja di sini, tetapi yang menjadi faktor tarikan yang tinggi ialah gaji yang tinggi...Siapa nak gaji rendah? Ada yang nak gaji rendah? Angkat tangan," kata Onn Hafiz.

Beliau bercakap pada Program Gerak Kerjaya Mega My Future Jobs Johor 2024, anjuran Unit Strategik Modal Insan Johor, yang menyediakan 5,000 jawatan kosong daripada 50 majikan ternama.

Selain itu, penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JDTC) mampu memberikan pekerjaan dengan gaji yang baik, kepada golongan muda.

Dalam pada itu, ketika lawatannya ke Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) susulan kes 19 pelajar mengalami muntah, demam dan gatal kulit selepas menyertai Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 pada 23 hingga 25 Julai lalu sehingga dimasukkan ke wad hospital.

Keputusan ujian sampel di pusat akuatik tersebut sedang diperoleh bagi mendapatkan pengesahan sama ada kejadian berlaku disebabkan pencemaran air kolam.

Onn Hafiz berkata, ketika ini 18 pelajar terlibat telah dibenarkan keluar hospital manakala seorang lagi pelajar sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

Kolam renang tersebut kini ditutup kepada umum, hingga 6 Ogos depan.

Sementara itu, pihak pengurusan kolam renang berkenaan akan menjalankan kerja renovasi bagi menambah baik kualiti fasiliti itu.

"Saya juga melihat bahawa tengok tadi kolam renang daripada segi infrastrukturnya berkarat dan perlu diperbaiki, pihak pengurusan rasanya ada memaklumkan pada saya bahawa pengubahsuaian akan dilakukan, bermula September depan," katanya lagi.

 

TETITIA YUSOFF