fb fb fb fb fb

JMKM: Penganjuran telah capai 71 peratus kawasan disasarkan

PUTRAJAYA, 13 September- Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) telah berlangsung di 71 peratus kawasan disasarkan.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata ia melibatkan 454 pusat jualan di seluruh negara.

"Kita juga mengambil maklum tentang kemajuan Jualan Murah Keluarga Malaysia sepertimana yang saya umumkan dalam mesyuarat lalu.

"Menjelang pertengahan September, kita mahu melihat pelaksanaan 100 peratus di 639 kawasan-kawasan dan ternyata kita belum capai tahap tersebut.

"Sehingga sekarang ini, telah meningkat banyak iaitu sejumlah 454 pusat-pusat Jualan Murah Keluarga Malaysia yang telah terlaksana dan menjelang hujung minggu ini, jumlah itu akan meningkat lagi.

"Minggu ini telah naik ke tahap 71 peratus dan kita harap usaha ini perlu dilipatgandakan terutama sekali di beberapa negeri yang agak perlahan pelaksanaannya," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, di sini pada Isnin.

(Annuar Musa)

Ringgit kukuh berbanding mata wang negara dagang lain

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata keresahan orang ramai berikutan nilai Ringgit rendah berbanding Dolar Amerika dan Singapura, tidak boleh dijadikan penanda aras kedudukan nilai mata wang.

Menurutnya, nilai mata wang negara kukuh dibandingkan negara dagang lain seperti Jepun (Yen), United Kingdom (Pound Sterling), Korea Selatan (Won) dan mata wang Euro.

"Cuma bila dilihat berbanding dengan US Dolar kita lemah kira kira tujuh peratus, dengan Dolar Singapura kira-kira 3.9 peratus.

"Jadi bagi yang benar benar memahami bolehlah melihat daripada keseluruhan nilai mata wang, prestasi kita adalah baik dari segi itu," jelasnya.

(Foto fail)

Perkara itu tambah Annuar sentiasa diteliti oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan melakukan beberapa pengubahsuaian termasuk mengawalselia Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Media Baharu