Labuan, 23 Februari- Sebanyak 34 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM9,400 dikeluarkan, manakala satu premis makanan diarah tutup dalam Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam (OSKA) oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Wilayah Persekutuan Labuan.
Operasi melibatkan pemeriksaan di 161 lokasi termasuk premis perniagaan, kawasan larangan merokok, premis makanan dan fasiliti awam di pulau itu.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Francis Paul, memaklumkan penguatkuasaan tertumpu kepada empat akta utama, iaitu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Akta Makanan 1983 (Akta 281), Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154), serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Operasi selama tiga hari ini melibatkan 46 anggota penguat kuasa dan pegawai JKN Labuan.
Francis turut menegaskan bahawa operasi akan terus diperketat bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang kesihatan awam serta kesejahteraan masyarakat terpelihara.