fb fb fb fb fb

JKM Kelantan rekod 48 kes kehamilan luar nikah

KOTA BHARU, 14 Jun- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan merekodkan sebanyak 48 kes kehamilan luar nikah membabitkan kanak-kanak dan remaja bawah umur di negeri itu sehingga Mei tahun ini.

Bagaimanapun angka itu dijangka meningkat tahun ini kerana sebanyak 45 kes sama dicatatkan pada tahun lalu di Kelantan.

Pengarah JKM Kelantan Said Sidup berkata, "walaupun angka itu dilihat tidak sebesar berbanding negeri lain, pihaknya mahu menjadikan sifar kes seksual membabitkan remaja di Kelantan.

Menurutnya, angka itu merupakan data yang dilaporkan kepada JKM dan pihaknya yakin masih banyak kehamilan luar nikah yang dirahsiakan keluarga atas faktor tertentu.

"Kita mengharapkan dengan program berterusan yang dilakukan dapat menangani masalah sosial di bandar ini selain kerjasama dengan mana-mana pihak bagi membantu permasalahan dalam kalangan remaja dapat dikawal," katanya selepas merasmikan pelancaran Buku Raudah Sakeenah Kelantan di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK), di sini hari ini.
 
Buku tersebut turut mendapat kerjasama Pertubuhan IKRAM Kelantan dalam penerbitannya.

Ia mengandungi kompilasi enam kisah benar pelatih rumah perlindungan tersebut yang dikongsikan sebagai bacaan umum.

Said berkata, faktor penggunaan gajet secara meluas dan pemantauan keluarga yang kurang juga antara penyebab kepada isu kehamilan luar nikah.

(Said Sidup)
 

Media Baharu