PELABUHAN KLANG, 24 Januari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor berjaya menumpaskan penyeludupan 77,059 kilogram (kg) makanan sejuk beku termasuk daging katak dan itik bernilai RM1.4 juta.
Kesemua makanan itu dirampas dalam empat buah kontena sejuk beku di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang, 9 dan 12 Disember lalu.
Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, barangan sejuk beku berkenaan dipercayai dibawa masuk ke negara ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
"Kesemua dagangan ini disyaki tidak mempunyai permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Jumlah kuantiti sitaan ialah 77,059 kg dengan anggaran nilai sebanyak RM1.4 juta melibatkan duti dan cukai berjumlah RM34,137," kata Norlela kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Klang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.
Dalam kes berasingan, Norlela memberitahu pihaknya turut merampas 9.7kg tembakau mentah dan kunyah bernilai RM1.7 juta termasuk cukai, Oktober dan November lalu.