fb fb fb fb fb

JKDM rampas lebih dua tan mercun dan bunga api bernilai lebih RM21,000

RANTAU PANJANG, 9 Januari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lebih dua tan mercun dan bunga api bernilai lebih RM21,000 yang dipercayai diseludup sempena Tahun Baru Cina di Pasir Puteh, semalam.

Pengarah Kastam Negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata dalam serbuan pukul 9.50 malam itu, pihaknya telah menahan sebuah lori muatan tiga tan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan itu.

Bagaimanapun, katanya pemandu lori dan pemandu pacuan empat roda terbabit melarikan diri sebaik sahaja kenderaan diberhentikan.

Kesemua bahan api berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran sekitar Lembah Klang yang mana disyaki sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

“Modus operandi yang digunakan sindiket terbabit adalah dengan menghantar lori kosong dan menyerahkan kepada pihak tertentu untuk mengambil mercun dan bunga api tanpa permit yang telah diseludup masuk ke lokasi tertentu di sekitar sempadan negara.

Kemudian, lori yang telah diisi dengan barang larangan tersebut diserahkan semula ke pemandu asal bagi tujuan penghantaran ke Lembah Klang," kata Wan Jamal pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Rantau Panjang, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengesan pemilik lori dan pacuan empat roda yang telah dirampas.

Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.


(Pengarah Kastam Negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long menunjukkan barang rampasan
jenis mercun dan bunga api kepada media)

Media Baharu