fb fb fb fb fb

JKDM patahkan penyeludupan haram gading gajah dan tanduk badak sumbu dari Afrika

PELABUHAN KLANG, 19 Julai- Sejumlah kira-kira RM80 juta nilai rampasan melibatkan penyeludupan gading gajah, badak sumbu, sisik tenggiling, taring harimau, tengkorak dan tulang haiwan berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Selangor.

Ini merupakan rampasan terbesar dilakukan oleh bahagian penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II, Selangor yang dijalankan pada 10 Julai 2022 lalu.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Haji Zazuli Johan berkata kejayaan ini hasil pemeriksaan fizikal kontena di atas sebuah kapal yang dipercayai berasal dari Afrika dan menemui bahagian haiwan tersebut yang disorok di belakang timbunan kayu bergergaji.

"Sehingga kini, Unit II (Selangor) telah berjaya menyelesaikan 106 kes dan memungut ketirisan hasil sebanyak RM928,729.08 melalui saringan mesin pengimbas yang baru. Dalam tahun 2022 sehingga Mei, ada 18 kes tidak termasuk kes ini masih dalam siasatan dimana nilai yang dianggarkan adalah RM3,107,000 dan jumlah duti/cukai yang terlibat adalah RM13,793,813," kata beliau kepada pemberita RTM.

Zazuli juga berkata tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan siasatan ke atas pengimport dan ejen perkapalan masih dijalankan.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengimport barang tak berkastam atau apa-apa barang larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika disabitkan kesalahan, denda tidak kurang dari sepuluh (10) kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh (20) kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari enam (6) bulan dan tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan dan tidak melibatkan diri dengan aktiviti tersebut.


(Gading gajah dan tanduk badak sumbu yang dirampas pihak JKDM)

Media Baharu