KOTA BHARU, 26 Januari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia melepaskan tiga das tembakan terhadap sebuah lori membawa muatan rokok seludup bernilai RM186,000 sebelum ianya berjaya ditahan di Jalan Mat Kancil, Kampung Padang Jelapang, Pasir Mas pada 6.15 pagi 22 Januari lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya melakukan initpan dan risikan menggunakan motosikal sebelum bertindak menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an.
Beliau berkata, semasa pegawai kastam memperkenalkan diri kepada pemandu lori tersebut, pemandu berkenaan secara tiba-tiba bertindak agresif dengan cuba merempuh pasukan operasi bagi meloloskan diri.
Katanya, susulan itu pasukan operasi terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar lori tersebut untuk mempertahankan diri.
Menurutnya, suspek memandu lori tersebut dalam keadaan tayar pancit sejauh dua kilometer sebelum memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.
"Semasa memperkenalkan diri kepada pemandu lori tersebut pemandu berkenaan secara tiba-tiba bertindak agresif dengan cuba merempuh pasukan operasi bagi meloloskan diri.
"Pasukan operasi terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar lori berkenaan untuk mempertahankan diri sebelum terus mengekori lori tersebut yang dipandu dalam keadaan tayar pancit.
"Setelah bergerak kira kira dua kilometer, pemandu lori tersebut memberhentikan kenderaannya di tepi jalan dan melarikan diri ke kawasan semak apabila laluannya terhalang oleh kenderaan awam yang datang dari arah bertentangan," katanya.
Wan Jamal Abdul Salam berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Penguatkuasa JKDM, Kota Bharu, hari ini.
Beliau menjelaskan, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati sebanyak 124 peti mengandungi 1,240,000 batang rokok putih, yang merupakan barang larangan, dimuatkan di dalamnya.
Beliau berkata, rokok-rokok tersebut dianggarkan bernilai RM186,000 dengan jumlah duti dan cukai yang terlibat sebanyak RM837,000, manakala lori yang digunakan dianggarkan bernilai RM30,000.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan, termasuk duti dan cukai, dianggarkan berjumlah RM1.053 juta.
Bagaimanapun pemandu lori terbabit gagal dikesan.
Kes disiasat di mengikut Seksyen 136, Akta Kastam 1967 jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya.
Sehubungan dengan itu orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.