fb fb fb fb fb

Jeniang transfer fasa satu dijangka siap April ini

JENIANG, 1 Februari - Projek Skim Pemindahan Air Jeniang atau 'Jeniang Transfer' fasa satu dijangka siap sepenuhnya pada April tahun ini.

Ketika ini, kerja-kerja pembinaan projek bernilai kira-kira RM101 juta itu telah mencapai tahap 97 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Tenaga, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata projek tersebut akan menakung air Sungai Muda dengan muka sauk di Jeniang untuk ditakung di Empangan Naok, Pendang dengan kapasiti 57 juta kubik meter.

Katanya, bekalan air tersebut akan mengairi selatan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas 39,000 hektar melalui terusan sepanjang 19.8 kilometer.

"Projek ini adalah kritikal bagi pertanian kerana kajian sumber air 'National Water Resources 2000-2050' merumuskan kawasan utara Semenanjung Malaysia akan mengalami kekurangan air ketara menjelang tahun 2050.

"Sekiranya tidak ditakung, air Sungai Muda hanya akan mengalir ke laut melalui Pulau Pinang," katanya selepas melakukan lawatan kerja bagi melihat perkembangan pembinaan projek tersebut, di sini.

Media Baharu