FOTO GENTING SKYWORLDS THEME PARK
KUALA LUMPUR, 1 Februari - Taman Tema Genting SkyWorlds akan dibuka kepada orang ramai pada 8 Februari depan.
Menerusi satu kenyataan, Genting Malaysia Berhad memaklumkan, taman tema dengan kos 800 juta dolar itu bakal meletakkan Malaysia dan Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Pembukaan taman tema itu juga berupaya menyumbang kepada sektor ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.
Ketua Operasi Taman Tema Resorts World Genting, Greg Pearn menyifatkan, pembukaan taman tema tersebut semasa pandemik adalah mencabar dan pihaknya berusaha memastikan keadaan selamat buat pengunjung.
"Pembukaan taman tema ini akan turut menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan kewujudan ribuan peluang pekerjaan," katanya dalam kenyataan.
Sempena pembukaan, pihaknya menawarkan diskaun 20 peratus untuk tempahan dari 8 Februari hingga 31 Mac 2022.