fb fb fb fb fb

Jenazah tiga sekeluarga dikebumikan satu liang lahad

KEMAMAN, 16 September- Jenazah tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan sebuah lori selamat dikebumikan dalam satu liang lahad awal pagi tadi.
 
Jenazah Ammir Hussain Mohd, 38, Ammzar Huzzair Husszair Al Hussin, 4, dan Ammzar Husnayan Al Hussien, 1, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Jabor Kubur kira-kira pukul 1.00 pagi tadi.

Sebelum itu, ketiga-tiga jenazah dituntut ahli keluarga selepas selesai proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kemaman kira-kira pukul 12.10 tengah malam.
 
Jenazah kemudiannya dibawa ke Surau Jalan Dato’ untuk disembahyangkan.

Isteri kepada Ammir Hussain, Norhafizah Sazwa Harun dan seorang lagi anak perempuannya, Ammzar Hussniah tidak hadir kerana sedang menerima rawatan di Hospital Kemaman dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
 
Kira-kira 200 ahli keluarga, waris dan orang ramai hadir untuk proses pengebumian dan selesai dilakukan sepenuhnya pada pukul 1.30 pagi tadi
 
Dalam kejadian pukul 2.05 petang semalam, kereta yang dinaiki keluarga berkenaan dirempuh sebuah lori 10 tan yang dipercayai mengalami masalah brek di persimpangan Hentian Sebelah Bandar Ceneh Baru.
 
Akibat rempuhan kuat itu, Ammir Hussain, maut di lokasi kejadian manakala dua lagi anaknya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman.

(Lori 10 tan yang mengalami masalah brek)

 

Berita berkaitan:
Tiga maut, lori rempuh MPV dinaiki lima sekeluarga di Kemaman

Media Baharu