fb fb fb fb fb

Jenazah Rubiah Sabtu selamat dikebumi

(FOTO RTM)

EMAMAN, 6 April- Jenazah wanita yang dibunuh suami menggunakan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun, selamat dikebumi pagi tadi.

Jenazah Allahyarham Rubiah Sabtu, 41 tiba Tanah Perkuburan Islam Bandar Bukit Besi pada pukul 11.15 pagi dan selamat disemadikan kira-kira pukul 11.18 pagi.

Terdahulu jenazah allahyarham dibawa dari Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu seterusnya dibawa ke Masjid Bukit Besi untuk solat jenazah.
 
Lebih 200 sanak saudara, kenalan dan penduduk kampung mengiringi jenazah bagi melancarkan urusan pengebumian.
 
Turut hadir ke majlis pegebumian adalah 6 orang anak-anak allahyarham.

Sementara itu, ibu mertua Allahyarham Wan Zaini Wan Abdullah, 60 berkata Allahyarham Rubiah sempat berpesan agar menjaga kesemua anaknya sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini terjadi kepadanya.

"Makcik tetap anggap dia macam anak sendiri. Dia berpesan sekiranya apa-apa terjadi kepadanya dia minta agar anak-anaknya dijaga. Dia tidak berharap kepada orang lain", kata Wan Zaini.

Dalam kejadian sekitar pukul 8.00 pagi semalam, Rubiah Sabtu maut setelah dipukul suaminya menggunakan penukul besi di bahagian muka.

Hasil siasatan polis, mendapati kejadian tersebut disebabkan perselisihan faham mangsa dan tertuduh, Mohd Amir Hamzah, 30, menyebabkan tertuduh bertindak luar kawalan.


(Ibu mertua Allahyarham, Wan Zaini Wan Abdullah/FOTO RTM)

Media Baharu