GEORGE TOWN, 6 Mac – Jenazah kartunis terkenal, Mohd Azmi Mohd Hussin, 41, atau lebih dikenali sebagai Azmi Hussin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak kira-kira pukul 2.15 petang tadi.
Sebelum itu, jenazah disolatkan di Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak selepas solat Zohor.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
Menurut abang Allahyarham, Syed Sultan Mohd Hissin, Azmi meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang malam tadi akibat serangan jantung selepas mengadu sesak nafas.
"Tiada tanda perubahan, cuma semalam saya dapat panggilan dan memang terkejut. Mula-mula diberitahu dia sakit dada dan dibawa ke klinik, kemudian panggilan kedua ketika berbuka puasa memaklumkan dia tiada," katanya.
Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang rajin dan bekerja keras dalam mengejar minatnya dalam seni lukisan.
"Dia seorang pelukis komik dan kartun kesayangan ramai. Orang suka dia sebab dia baik, rajin bekerja, dan tidak jemu melukis. Karyanya membuktikan kesungguhan dan keazaman tinggi," kata Karyawan Negara, Mohd Nor Khalid.
Allahyarham memulakan kerjaya sebagai karikatur jalanan pada usia 29 tahun sekitar 2013.
Antara pencapaian terbesarnya menerusi buku komik ‘The Little Mamak’ yang tersenarai antara 50 buku terbaik di Malaysia oleh Majlis Buku Negara serta mewakili negara ke Pesta Buku Frankfurt, Jerman.
Selain itu, Allahyarham merupakan pemegang tiga rekod Malaysia Book of Records, antaranya ‘Most Caricature Live Painting in 24 Hours’ selepas melukis 320 karikatur dalam 24 jam.
BERITA BERKAITAN: