fb fb fb fb fb

Jenayah komersial di Sarawak catat penurunan bagi tempoh Jan-Mac 2024

Pesuruhjaya Polis Sarawak menyaksikan pertukaran nota serah terima tugas Ketua Polis Daerah Serian antara ASP Suriah Seleh (kiri) dengan DSP Neil Beginda (kanan) di IPK Sarawak/BERNAMA

KUCHING, 30 April- Jenayah komersial di Sarawak mencatatkan penurunan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, sebanyak 597 kes direkodkan berbanding 739 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Dedahnya, jumlah kerugian jenayah komersial bagi tempoh itu adalah sebanyak RM28.6 juta bagi tahun ini, manakala bagi tempoh sama tahun lalu, sebanyak RM31.2 juta iaitu penurunan sebanyak RM2.6 juta atau penurunan 8.33 peratus.

Tambahnya, mangsa paling ramai di negeri ini melibatkan penipuan e-dagang sebanyak 154 kes melibatkan kerugian sebanyak RM1.4 juta diikuti kes tipu pelaburan 58 kes dengan kerugian RM11.1 juta dan penipuan pinjaman tidak wujud iaitu 55 kes membabitkan RM432,000.

Jelas Datuk Mancha lagi, kes pecah amanah jenayah pula mencatatkan 46 kes dengan kerugian RM7.4 juta, diikuti penipuan menerusi telefon atau 'phone scam' iaitu 40 kes iaitu RM2.7 juta.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP Daerah Padawan, Matu Daro dan Serian di MES Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Sarawak Jalan Badruddin Kuching.

Pada majlis itu, Datuk Mancha Ata menyaksikan serah terima tugas di antara DSP Lim Jaw Shyong kepada Superitenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Padawan yang baharu.

Selain itu juga, beliau menyaksikan serah terima tugas di antara Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Neil anak Beginda kepada DSP Rahim anak Mihos diikuti Ketua Polis Daerah Serian ASP Suriah Seleh kepada DSP Neil anak Beginda.

Berucap pada majlis itu, Datuk Mancha meminta setiap pegawai terus mengekalkan perkhidmatan yang cemerlangan dalam tugas yang telah diamanahkan.

ROSLINA BINTI DIN