KUALA LUMPUR, 15 Januari – Siasatan ke atas sebuah syarikat pelancongan berlesen sedang dijalankan selepas kegagalan syarikat tersebut untuk menerbangkan jemaah umrah yang dijadualkan pada Selasa.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan syarikat pelancongan terbabit disaran untuk menunaikan tempahan jemaah yang sedia ada, terutamanya bagi mereka yang telah membuat bayaran penuh, dan memastikan penerbangan dijalankan mengikut jadual yang telah dipersetujui.
Selain itu, syarikat turut diminta untuk memulangkan wang kepada jemaah yang telah memohon untuk membatalkan pakej umrah.
"MOTAC menegaskan semua syarikat pelancongan yang terlibat dalam industri ini perlu lebih telus dalam menjalankan perniagaan, terutamanya dalam menawarkan pakej umrah.
"Isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal serta kegagalan memulangkan wang apabila berlaku perubahan boleh mencemarkan imej industri dan membawa kepada kehilangan keyakinan di kalangan jemaah," menurut MOTAC menerusi kenyataan.
Kementerian turut menasihatkan jemaah yang terlibat untuk membuat laporan polis atau mengemukakan aduan rasmi kepada MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi membantu siasatan dan membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
Semalam, media melaporkan lebih 300 jemaah umrah terkandas selepas penerbangan mereka ke Mekah ditunda oleh syarikat pengendali umrah.