fb fb fb fb fb

Projek ECRL capai kemajuan 77.39 peratus

Foto Fail

KOTA BHARU, 15 Januari - Tahap kemajuan keseluruhan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan empat buah negeri hingga bulan lalu telah mencapai 77.39 peratus.

Status kemajuan projek kini berada pada landasan yang betul untuk disiapkan pada hujung tahun depan dan dijangka akan dapat memulakan operasi awal 2027.
 
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak, pembinaan projek berjalan mengikut jadual dan tidak timbul sebarang isu yang boleh melambatkan pelaksanaannya termasuk banjir yang melanda beberapa buah negeri.
 
Malah katanya, pencapaian pembinaan projek di beberapa fasa juga mendahului jadual yang di tetapkan.
 
"Kita tidak ada isu yang besar yang boleh melewatkan tetapi kita berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dalam kita menjayakan projek mega ini, tidak ada tempat dari penjajaran kita di naiki air. Bagaimanapun kita mengucapkan terima kasih semua pihak khususnya penduduk kampung terlibat," kata Darwis.

Beliau di temui media selepas Majlis Penyempurnaan Kerja Pemasangan Landasan ECRL dari Maran ke Kota Bharu di tapak projek ECRL di Tunjong, di sini.
 
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd, Kong Qi.
 
Mengulas lanjut Darwis berkata, setelah kerja pemasangan landasan sepanjang kira-kira 400 kilometer (km) jajaran utama dari Maran, Pahang hingga ke Kota Bharu, Kelantan berjaya disempurnakan ia akan membantu mempercepatkan lagi pembinaan ECRL khususnya di Kelantan.
 
Ini melibatkan pembinaan sistem elektrifikasi, semboyan dan telekomunikasi.
 
Setakat ini, pembinaan jajaran ECRL di Kelantan telah mencapai kemajuan sebanyak 87.8 peratus melibatkan dua stesen ECRL iaitu Stesen Kota Bharu di Bandar Baru Tunjong bagi penumpang dan Stesen Pasir Puteh di Cherang Tuli untuk kegunaan penumpang serta kargo.
 
Darwis memaklumkan kerajaan belum memutuskan kadar tambang untuk pengguna ECRL namun kadar yang akan di umum kelak di jamin berpatutan.  
 
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
 
Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak di jangka siap pada Disember 2026 dan beroperasi bermula Januari 2027.

TETITIA YUSOFF