CHERAS, 26 Oktober- Cuti pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibekukan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata peratusan kelulusan cuti terhad tersebut akan dibuat secara berperingkat mengikut situasi di setiap negeri dan daerah bagi memastikan persiapan dan kesiapsiagaan JBPM berjalan lancar.
Beliau berkata pembekuan cuti itu melibatkan 80% daripada 13,475 pegawai dan anggotanya di seluruh negara.
"Hanya 20% akan diberi cuti, tertakluk kepada situasi banjir dan kita akan hanya benarkan kepada mereka yang betul-betul memerlukan atau ada perkara yang tidak dapat dielakkan," kata Abdul Wahab kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana 2023, di sini.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 96 pegawai bomba yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Turkiye diberikan sijil penghargaan khas sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka.
Selain itu, Abdul Wahab serta tujuh pegawai pengurusan tertinggi jabatan dan pegawai kanan dianugerahkan dengan Bintang Wira Merah, Sayap Kehormat dan Sayap Anugerah.