KUALA LUMPUR, 26 Mac- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis telah mengenal pasti empat lokasi panas utama kemalangan.
Menurut Pengarah JBPM Negeri, Penguasa Kanan Bomba l Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin, lokasi melibatkan Jalan Alor Setar-Kangar; Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis; Jalan Kangar-Kangar Jaya-Kuala Perlis; dan Jalan Kangar-Padang Besar.
Pemantauan di lokasi berkenaan ditingkatkan dengan rondaan berkala jentera penyelamat oleh pegawai dan anggota dari lima buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) serta Pasukan Bomba Sukarela.
"Operasi bermula 29 Mac dan berakhir 3 April ini.
"Kita sentiasa meletakkan pasukan kita 24 jam bersiap siaga untuk memberi respons kepada kes-kes berkaitan tersebut.
"Kita juga ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa prihatin terhadap keselamatan semasa memandu di jalan raya dan pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta sentiasa memandu dengan berhati-hati," katanya.
Beliau memaklumkannya pada Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Bersama Bomba Komuniti dan Pelepasan Ops Ronda Raya 2025 di BBP Kangar.
Lebih 200 pegawai dan anggota JBPM bersiap siaga sepanjang perayaan Aidilfitri ini termasuk melaksanakan Op Ronda Raya di laluan ditetapkan.