SEREMBAN, 3 Disember- Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan menghantar dua Pasukan Gerak Cepat (PGC) bagi misi bantuan penyelamatan dan logistik ke Kelantan.
Pengarah JBPM Negeri Sembilan Nor Arifin Kamari berkata, 12 anggota bersama pacuan empat roda (dua), lori lima tan (dua) dan bot penyelamatan (dua) dikerah bagi menambah kekuatan JBPM Kelantan.
"Setakat ini banjir di sana dalam keadaan berkurang, tetapi kita tidak jangka berapa lama mereka akan berada disana.
"Jadi apa pun kalau terlalu lama kita telah menyediakan pasukan gantian. Namun kami masih menunggu arahan dari Putrajaya untuk arahan penggantian berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Terima Tugas sebagai Pengarah JBPM Negeri Sembilan baru di sini.
Dalam pada itu, seramai 1,111 anggota JBPM negeri itu dibekukan cuti sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Sementara itu mengenai tahap persediaan keanggotaan dan peralatan marin bagi respons segera sekiranya berlaku gelombang banjir ia mencapai 98 peratus.