
PUTRAJAYA, 9 Februari -Lebih 15,000 atau 80 peratus pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibekukan cuti sebagai persiapan agensi tersebut menghadapi sambutan Tahun Baharu Cina.
- 80 peratus pegawai dan anggota JBPM dibekukan cuti bagi memastikan kesiapsiagaan semasa sambutan Tahun Baharu Cina.
- Lebih 15,000 anggota bomba ditempatkan untuk pencegahan kebakaran dan keselamatan awam sepanjang musim perayaan.
- JBPM menjalankan 21,429 pemeriksaan premis tahun lalu, mengeluarkan 11,260 notis untuk pematuhan keselamatan kebakaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai yang pulang ke kampung halaman, dapat menyambut perayaan dalam suasana tenang dan selamat.
“Mulai hujung minggu ini, lebih 15,000 anggota bomba bersiap sedia untuk memastikan pencegahan kebakaran itu dijalankan dengan teratur dan berkesan.
“Cuti 80 peratus anggota akan dibekukan minggu ini sehingga selesai musim perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jentera Bomba dan Ops Siaga Raya 2026, di sini.
Dalam perkembangan sama, Nga berkata, JBPM melalui pelaksanaan Aktiviti Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) telah menjalankan sebanyak 21,429 pemeriksaan premis bangunan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, hampir 19 peratus atau 3,429 pemeriksaan premis telah melebihi sasaran awal 18,000 pemeriksaan yang ditetapkan.
Hasil pemeriksaan berkenaan katanya, sebanyak 11,260 notis telah dikeluarkan melibatkan 1,612 premis bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan kebakaran.