KUALA LUMPUR, 9 Mei –Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah, bagi menyelaras pendaftaran, kurikulum serta kebajikan tenaga pengajar institusi seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bagi memastikan penyampaian pendidikan prasekolah berkualiti, selamat dan teratur.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bil. 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan beliau sendiri.
"Mesyuarat hari ini menyentuh isu kritikal sosial negara termasuk penyelarasan institusi pendidikan prasekolah Islam dan perlindungan menyeluruh terhadap kanak-kanak rentan selain turut membincangkan strategi penyelesaian isu pendaftaran, kurikulum dan tenaga pengajar di PASTI," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata , satu kertas cadangan akan diangkat kepada Jemaah Menteri mengenai pelan hala tuju pendidikan awal kanak-kanak yang lebih tersusun dan berpaksikan kualiti.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menyatakan bahawa kerajaan bersetuju untuk mewujudkan pasukan petugas khas bagi membendung impak sosial dalam kalangan pelajar tercicir selain mereka yang terlibat dalam isu penyalahgunaan dadah dan cabaran sosial lain yang memerlukan tindakan segera rentas agensi.
Ini termasuk kesejahteraan 560 kanak-kanak bawah pengurusan GISB Holdings akan turut diberi perhatian, dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi. Justeru, sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan untuk program pemulihan serta pembangunan jati diri kanak-kanak terbabit.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid juga menekankan keperluan mendesak mewujudkan sistem penjagaan jangka panjang bagi warga emas, menjelang unjuran peningkatan 15 peratus populasi berumur 60 tahun ke atas menjelang tahun 2030.
“Majlis Sosial Negara menekankan kepentingan menstruktur semula sistem sokongan sosial negara agar lebih mampan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kewangan kerajaan,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera negara untuk mengamalkan pendekatan bersepadu dan menyeluruh dalam memastikan kestabilan sosial yang inklusif dan berdaya tahan, sejajar aspirasi Malaysia MADANI.