fb fb fb fb fb

Janin bayi ditemukan dalam tandas stesen minyak

KUALA LUMPUR, 11 Mei - Janin bayi yang cukup sifat ditemukan orang awam dalam tandas di sebuah stesen minyak di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur petang semalam.

Janin dianggarkan berusia enam hingga lapan bulan dan dibuang ke dalam mangkuk tandas premis tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah memaklumkan bertindak atas maklumat yang diterima kira-kira 4.57 petang semalam, sepasukan pegawai serta anggota menjalankan siasatan di lokasi insiden.


(Janin bayi yang cukup sifat ditemui di sini/Foto Polis KL)

"Janin itu kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan siasatan masih dijalankan berhubung kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Kuala Lumpur 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Media Baharu