fb fb fb fb fb

Jalan Batang Kali-Genting Highlands dibuka semula untuk laluan umum

Ir Izham Hashim

HULU SELANGOR, 1 Julai- Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup lebih setahun susulan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan ladang organik pada 16 Disember 2022 dibuka semula kepada pengguna jalan raya bermula pukul 3.00 petang tadi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor Ir Izham Hashim, kerja penurapan di laluan berkenaan telah dijalankan pada 27 hingga 29 Mei lalu dan kerja-kerja pembaikan cerun dengan kos kira-kira RM19 juta siap pada 15 Jun lepas.

"Sebelum ini hanya kita benarkan pekerja di kawasan Genting Highlands sahaja ataupun satu lorong sahaja untuk pekerja ulang alik. Laluan ini sudah dibuka untuk kegunaan orang ramai dan boleh menggunakan jalan ini sebagai alternatif kepada jalan Genting Highlands untuk ke Genting Highlands.

"...saya harap ini akan membawa manfaat kepada 10,000 pengguna sehari yang menggunakan laluan ini dan ia akan memudahkan serta memberi keselesaan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis merasmikan pembukaan Jalan Batang Kali-Genting Highland di sini.

Sebelum ini, Jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup bagi membolehkan kerja-kerja membaiki cerun dan jalan di kawasan kejadian tanah runtuh berkenaan.

Tragedi tanah runtuh pada 16 Disember 2022 itu mengorbankan 31 nyawa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI