fb fb fb fb fb

JAKIM kumpul RM15 juta bantu Palestin

Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar

PUTRAJAYA, 22 Februari-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Tabung Musa'adah telah berjaya mengumpulkan sebanyak hampir RM15 juta bagi membantu umat Islam di Palestin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata para penyumbang terdiri daripada pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), agensi-agensi di bawahnya, Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM, syarikat korporat serta orang awam.

"Rakyat Malaysia ini dan kerajaan Malaysia memang telah membantu Palestin sejak dulu sehinggalah sekarang, perkara yang penting adalah terputusnya rantaian makanan dan juga minuman, jadi kita menangani pasca peperangan ini dengan sumbangan yang ada termasuk yang diberikan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

"Kita nak lihat keperluan, kita tidak mahu nanti pertindihan, kita tidak mahu sumbangan yang kita berikan itu dah terlalu banyak diberikan oleh agensi-agensi ataupun negara-negara lain.

"Jadi sebab itu saya rasa pasca peperangan ini kita perlu lihat apa sebenarnya yang diperlukan oleh saudara-saudara kita dan rakyat Palestin," katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura Sumbangan Kutipan Tabung Musa'adah bagi Misi Bantuan Kemanusiaan kepada Rakyat Palestin di sini.

Tambahnya, sumbangan tersebut telah menunjukkan bahawa agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan dan negeri telah bersolidariti atas isu Palestin, selain ia menjadi wadah kepercayaan orang ramai dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang ditindas.

Segala kutipan yang disumbangkan akan disalurkan kepada pihak yang berautoriti seperti Kementerian Luar Negeri  dan juga badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang diiktiraf kerajaan untuk disampaikan kepada mangsa peperangan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM