PASIR MAS, 2 Disember- Jajahan Jeli pulih sepenuhnya daripada banjir apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 81 penduduk terjejas ditutup.
Ia menjadikan, jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan terus berkurang kepada 67,184 penduduk masih berlindung di 182 PPS yang masih aktif membabitkan lapan jajahan di negeri itu.
Menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 6.00 petang tadi, jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 27,637 orang daripada 9,103 keluarga di 59 PPS.
Tumpat pula mencatatkan penduduk terjejas kedua tertinggi iaitu lebih 20,940 orang daripada 6,488 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS.
Jajahan lain yang turut terkesan ialah Pasir Puteh (6,587), Bachok (3,555), Kuala Krai (3,401), Kota Bharu (2,155), Machang (1,679) dan Tanah Merah (1,230).
Sementara itu, tiga sungai utama iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang Pasir Mas, Sungai Sokor (Tanah Merah) dan Sungai Golok (Tumpat) masih mencatatkan paras melebihi tahap bahaya.
Di Pahang seramai 1,692 penduduk terjejas banjir daerah iaitu Raub, Jerantut dan Lipis.
Kesemua 557 keluarga terlibat berlindung di 22 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di negeri itu.
Menurut Info Bencana JKM, penduduk paling ramai dipindahkan ialah daerah Raub iaitu 1,666 orang yang ditempatkan ke 20 PPS.
Sementara itu, daerah Jerantut (13) dan Lipis (13) masing-masing ditempatkan di sebuah PPS.
Dalam pada itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai di negeri itu Sungai Lipis (Benta) dan dua sungai di Jerantut iaitu Sungai Pahang di Kuala Tembeling serta Sungai Pahang di Jerantut Feri berada pada paras bahaya.