PUTRAJAYA, 13 Disember - Jabatan kerajaan diarah merangka serta membangun kaedah bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan kaya dan konglomerat ke arah menyokong kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan dan memerlukan.
Katanya, mengambil contoh subsidi elektrik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna yang mana 50 peratus daripada subsidi untuk kemudahan itu dinikmati oleh 10 peratus atau 1 juta pengguna yang terdiri daripada kumpulan konglomerat.
"Jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun saluran yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebijakan dasar ini," katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), hari ini.
Anwar berkata, pada Mesyuarat NACCOL yang dipengerusikannya pagi ini, sebanyak tiga kertas dibentangkan selain mengupas isu, cabaran dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Katanya, laporan itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh berkaitan, terutamanya pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna.