fb fb fb fb fb

J-KOM perkukuh kerjasama antara kementerian, sebar luas maklumat kerajaan

Datuk Ismail Yusop

TAIPING, 13 Disember - Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian pelaksana bagi memastikan penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat dilaksanakan secara lebih berkesan dan holistik.

Ketua Pengarah J-KOM Datuk Ismail Yusop berkata, komunikasi kerajaan tidak bergantung kepada satu agensi semata-mata, sebaliknya bermula di peringkat kementerian yang bertanggungjawab melaksanakan dasar serta inisiatif kerajaan.

Kandungan maklumat yang disediakan akan disebarluaskan agensi bawah Kementerian Komunikasi termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan J-KOM.

"Ekosistem komunikasi kerajaan ini diselaraskan melalui Jawatankuasa Strategik Komunikasi Kebangsaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Mesyuarat turut diadakan dari semasa ke semasa bersama agensi berkaitan bagi memastikan penyelarasan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI J-KOM Kampung Sungai Mati, Matang, di sini.

Menurut Datuk Ismail Yusop penyelarasan itu penting bagi memastikan keselarasan mesej serta pelaksanaan inisiatif kerajaan di semua peringkat.

Hampir RM600,000 disalurkan melalui pejabat daerah bagi melaksanakan tujuh projek fizikal di kampung berkenaan antaranya pembinaan dan naik taraf longkang konkrit bagi mengurangkan risiko banjir, naik taraf surau, penyediaan dewan serbaguna serta penurapan jalan kampung.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI