fb fb fb fb fb

Isu sorok beras, kilang lain mungkin akan diperiksa - SPRM

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dijangka membuat serbuan di lima kilang beras lain selepas sebuah kilang disita di Kedah, disyaki menyorokkan 180 tan metrik beras putih tempatan (BPT).

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pihaknya meneliti sebarang maklumat dan aduan yang diterima serta menjalankan siasatan secara profesional.

"Jadi, pada semalam ada sebuah kilang kemudian hari ini dua buah kilang lagi, setakat ini. Saya tidak menolak akan ada lagi pemeriksaan terhadap kilang-kilang lain oleh SPRM."

"Ia bagi melihat subsidi-subsidi yang dibayar oleh kerajaan, kerana disyaki tidak seimbang dengan pengeluaran padi yang telah diedarkan kepada orang ramai," kata Azam kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Public Private Partnership (PPP) Fasa 2.


(Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki)

Tambahnya, SPRM bukan sahaja melihat jumlah beras yang disorok tetapi meneliti dokumen invois serta tuntutan subsidi.

Pihak yang terlibat dalam kawal selia padi juga dipanggil memberi keterangan sekiranya terlibat.

Tegas beliau, siasatan tidak menyasarkan mana-mana pihak, sama ada kerajaan negeri atau ahli politik.

Media Baharu