fb fb fb fb fb

Isu solat di kuil: Masyarakat diseru berlapang dada, rujuk autoriti

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan / Foto RTM

SUBANG JAYA, 7 April – Orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada pihak berkuasa agama berhubung hukum menunaikan solat di rumah ibadat bukan Islam ketika berlaku bencana.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan nasihat tersebut susulan tularnya tindakan seorang lelaki dipercayai petugas sukarelawan yang menunaikan solat di sebuah kuil semasa tragedi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, pada Selasa lalu.

“Ya, perkara ini sebaiknya dirujuk kepada pihak berkuasa agama. Sebenarnya, sudah ada nasihat-nasihat yang diberikan. Namun dalam konteks bencana, kita perlu melihat situasi secara menyeluruh dan bukan terburu-buru membuat keputusan. Konteks-konteks tertentu perlu diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni penduduk terjejas daripada 98 buah keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini.

Selain menghulurkan sumbangan pek makanan, Dr Zulkifli turut memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada mangsa yang terjejas akibat tragedi berkenaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN