fb fb fb fb fb

Isu serantau termasuk krisis Rohingya perlu dibincang antara wartawan Malaysia-Indonesia - Menteri KKD

(Pengamal media Malaysia - Indonesia ketika liputan lawatan rasmi Perdana Menteri,
Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta pada awal Januari)

JAKARTA, 6 Februari - Isu serantau yang memberi impak kepada kedua-dua negara seperti krisis Rohingya di Myanmar perlu dibincangkan antara wartawan Malaysia dan Indonesia melalui satu forum di peringkat ASEAN, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.


Katanya, perbincangan isu itu mampu meningkatkan pemahaman dan berkongsi maklumat antara wartawan serantau selain merungkai persoalan berkenaan isu melibatkan krisis kemanusiaan di Myanmar.

"Saya ingin lihat wartawan menyertai perbincangan di peringkat ASEAN mengenai apa yang sedang berlaku dan cabaran di negara masing-masing, serta apa yang boleh dipelajari dan saling menyokong antara satu sama lain," katanya ketika dalam wawancara bersama media Indonesia secara dalam talian sempena sambutan Hari PERS Nasional (HPN) yang akan disambut di Medan, Sumatera Utara, Khamis ini.

Tambah beliau, meskipun ASEAN berpegang teguh untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara lain, namun krisis Rohingya di Myanmar seolah-olah menjadi isu sensitif untuk dibincangkan.

Katanya, pelarian Rohingya di Malaysia menjadi polemik dengan jumlah yang mencecah ratusan ribu orang.

"Kalau boleh kita rapatkan hubungan bukan hanya di antara warga Malaysia dan Indonesia, tetapi antara wartawan yang memainkan peranan penting untuk saling bercerita antara satu sama lain, supaya kita boleh membaca (mengenainya)," tambahnya.

(Fahmi Fadzil ketika dalam wawancara bersama media Indonesia secara dalam talian sempena
sambutan Hari PERS Nasional (HPN) yang akan disambut di Medan, Sumatera Utara, Khamis ini/FOTO Facebook Fahmi Fadzil)

Fahmi turut menyentuh cabaran media dalam era kebangkitan teknologi yang menyaksikan media sosial menjadi sumber penting penyaluran maklumat dan berita palsu.

Sementara itu, mengenai hubungan Malaysia-Indonesia, Fahmi percaya Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) mampu memainkan peranan lebih besar dalam mengeratkan hubungan dua negara serumpun itu.

Tambahnya, beberapa program akan dirancang termasuk pertukaran wartawan bagi tempoh tertentu.

Ia untuk meningkatkan interaksi wartawan dan mendalami situasi di dua-kedua negara serumpun.

Terdahulu, Fahmi memohon maaf tidak dapat memenuhi undangan hadir ke sambutan HPN kerana akan berada di Boracay, Philippines untuk ASEAN Digital Ministers' Meetings.

Beliau turut menyampaikan komitmen akan berkunjung ke Indonesia pada masa depan.

Media Baharu