BANGI, 22 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya mandat kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dalam isu penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Menurut Anwar, dengan mandat penuh yang diberikan, beliau tidak perlu terlibat dalam perbincangan berkaitan isu tersebut.
"Kita telah beri mandat penuh kepada TPM Datuk Seri Fadillah untuk menemui mereka. Tapi seperti yang kita tahu, sudah lebih dua tahun perkara ini berdolak-dalik. Kita tidak ada masalah kerana kita sudah beri ruang.
"Apabila kita sudah beri mandat penuh dan penghormatan, tidak perlu saya sendiri terlibat dalam semua hal. Kalau secara asing saya hendak jumpa mereka, itu tak apa. Tapi dalam perkara ini, mandat sudah diberikan oleh semua Jemaah Menteri dan parti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pemukiman Kerajaan MADANI 2025, di sini.