fb fb fb fb fb

Isu perobohan premis perniagaan di Desa Pandan, sesi libat urus diteruskan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Satu lagi sesi libat urus dijadualkan berlangsung hujung bulan ini melibatkan sembilan pemilik premis perniagaan yang terkesan dengan isu perobohan tapak perniagaan di Desa Pandan, di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata pihaknya telah mengambil pendekatan berhemah dengan mengadakan beberapa siri pertemuan bersama peniaga terbabit sejak November 2024.

“Kita telah mulakan sesi libat urus bersama peniaga-peniaga ini seawal November tahun lalu, dan sesi kedua telah diadakan pada Januari 2025. Notis pengosongan juga telah dikeluarkan selepas sesi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan, di ibu negara, hari ini.

Namun demikian, ujar Dr. Zaliha, masih terdapat segelintir peniaga yang belum bersetuju dengan perpindahan yang dicadangkan serta memerlukan penjelasan lanjut berhubung penempatan semula mereka.

“Ada yang telah bersetuju, namun ada juga yang masih perlukan penjelasan lanjut. Justeru, satu lagi sesi libat urus akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik. Kita tidak mahu mereka terpinggir dalam proses pembangunan ini,” katanya.

Menurut Dr. Zaliha, kawasan yang terlibat merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Projek Menaik Taraf Jalan 2/76, Desa Pandan, satu inisiatif infrastruktur bertujuan meningkatkan kelancaran aliran trafik dan keselesaan awam di kawasan terbabit.

“Kita faham kebimbangan para peniaga. Namun, pada masa sama, projek ini penting demi kepentingan awam. Kami komited untuk membantu mereka dalam proses penempatan semula supaya dapat meneruskan perniagaan dengan selesa dan selamat,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Zaliha turut mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera mengadakan pertemuan lanjutan bersama peniaga berkenaan bagi membincangkan penempatan alternatif serta memastikan proses pemindahan berjalan secara teratur dan harmoni.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN