fb fb fb fb fb

Sistem NAS dijangka beri kesan limpahan ekonomi

Datuk Fahmi Fadzil (tiga kiri) merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 di ibu negara - Foto FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) dijangka beri kesan limpahan ekonomi sebanyak RM2 bilion serta membuka lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, pelaksanaan NAS merupakan langkah strategik ke arah merealisasikan visi pengalamatan digital negara.

Bagi tujuan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan Pelan Anjakan NAS dalam masa terdekat.

1707 NSL FAHMI NAS 3Pelan Anjakan NAS diharap dapat digunakan oleh semua agensi dan industri - Foto FB Fahmi Fadzil

“Pelan ini akan bermula dalam masa terdekat dengan projek perintis bagi menguji model NAS di lokasi terpilih.

"Saya harap Pelan Anjakan NAS akan dapat diguna oleh semua agensi dan industri untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bukan hanya lebih berorientasikan digital, tetapi lebih terhubung dan terjalin.

"Inisiatif ini perlukan kerjasama erat daripada semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan, syarikat-syarikat perkhidmatan logistik, e-dagang, utiliti, dan seluruh rakyat Malaysia amnya'', katanya ketika merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 di sini hari ini.

NAS merupakan sistem alamat autoritatif, berpiawai dan berpusat yang menghimpunkan alamat secara seragam, mengikut piawaian MS2039 yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.

Setiap alamat dalam sistem ini akan digeokod dan diberikan pengecam lokasi unik, membolehkan keserasian dan interoperabiliti antara pelbagai sistem dan sektor.

Pelaksanaan NAS dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dan swasta, serta memperkukuh ekosistem digital negara secara menyeluruh.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK