fb fb fb fb fb

Isu Palestin: Kelantangan PM diiktiraf, pacu kesepakatan tangani kekejaman Israel

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 12 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong penuh kesatuan yang dizahirkan pemimpin-pemimpin Islam dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab Islam di Riyadh, dalam menangani cabaran termasuk isu keganasan yang dilakukan oleh Israel.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ini jelas menunjukkan pendirian Perdana Menteri yang tegas dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku.

"Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab Islam di Arab Saudi, jelas memberikan satu bentuk ketegasan kepada suara-suara, kuasa-kuasa besar khususnya kepada Israel untuk memastikan isu berhubung konflik terhadap kekejaman Israel kepada Palestin itu dihenti dengan segera.

Malaysia telah mendominasi satu bentuk diplomasi keras memperjuangkan satu bentuk keamanan dunia dengan suara lantang Perdana Menteri, supaya diplomasi keras ini diberikan hala tuju dan alternatif baharu untuk memastikan Israel akur kepada kehendak dunia, khususnya dengan gesaan terhadap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Untuk menyingkirkan, menggantung atau memberikan pelbagai tindakan-tindakan berkaitan dengan status Israel sebagai sebuah negara yang diiktiraf bawah PBB," kata Dr. Noor Nirwandy, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Berita RTM.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut mengecam tindakan rejim zionis yang menyerang nadi utama bagi kelangsungan hidup Palestin dengan menyekat Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi, memberi sumber keperluan asas di Gaza.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM