KUALA LUMPUR, 20 Mac – Kerajaan memberi jaminan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik swasta di Jalan Masjid India tidak akan dirobohkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mencari penyelesaian yang adil, saksama dan harmoni.
"Saya boleh beri jaminan di sini, tiada mana-mana kaum pun di negara kita yang tidak akan terbela. Nasib semua kaum akan terbela secara adil, khususnya komuniti India.
"Isu ini melibatkan pemilik swasta baharu, bukan kerajaan, kerana tanah tersebut adalah hak milik swasta. Namun, kerajaan melalui DBKL akan berunding bagi mencari penyelesaian terbaik yang dapat menjaga keharmonian semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di ibu negara, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh menegaskan kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan perobohan kuil tersebut, sebaliknya hanya membincangkan isu pengalihan atau pemindahan rumah ibadat berkenaan.
Sementara itu, Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel, Aiman Dazuki turut menegaskan tidak timbul isu perobohan kuil tersebut, sebaliknya proses perbincangan mengenai pemindahannya telah berlangsung secara harmoni selama lebih 10 tahun.
"Perbincangan selama ini diadakan dengan sangat harmoni. Kami faham sensitiviti isu ini kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama. Oleh itu, kami ingin menyelesaikannya dengan cara terbaik.
"Perkara ini juga tidak dibawa ke mahkamah kerana kami percaya penyelesaian harus bersifat menang-menang, demi menjaga kepentingan syarikat dan rumah ibadat," katanya dalam sidang akhbar di ibu negara.
Beliau turut menegaskan supaya pihak luar tidak mencetuskan ketegangan kaum berkaitan isu penempatan semula kuil tersebut.
Mengulas mengenai majlis pecah tanah yang dijadualkan pada 27 Mac ini, beliau menjelaskan ia bukan petanda projek pembinaan akan bermula serta-merta, sebaliknya sekadar simbolik komitmen syarikat terhadap projek berkenaan.