
KUANTAN, 25 Februari– Kerajaan Pahang memandang serius isu melibatkan tindakan seorang mahasiswa di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan perbuatan menghina kemuliaan Nabi Muhammad SAW serta kesucian al-Quran.
- Kerajaan Pahang serius mengenai insiden dikaitkan dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan al-Quran.
- Siapa sahaja yang terlibat diserahkan kepada pihak berkuasa dan UMPSA untuk siasatan telus mengikut undang-undang.
- Minta orang ramai, terutama belia, hormati perbezaan, elak tindakan provokatif dan pelihara perpaduan serta keharmonian.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan perbuatan berkenaan bukan sahaja amat mendukacitakan, malah lebih sensitif apabila berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.
“Sebarang tindakan atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan, menjejaskan keharmonian serta merosakkan asas perpaduan yang telah lama dibina dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta pihak UMPSA untuk menjalankan siasatan dan menguruskan kes berkenaan secara menyeluruh, telus serta berlandaskan undang-undang dan peraturan sedia ada.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda, agar sentiasa berfikir panjang dan berhati-hati dalam setiap tindakan serta perkongsian, terutamanya di ruang awam dan media sosial.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menggugat keharmonian, kestabilan dan perpaduan masyarakat.
“Semua pihak perlu bersama-sama memelihara semangat saling menghormati, memahami perbezaan serta menjunjung nilai kesopanan dan toleransi demi kesejahteraan negeri Pahang dan negara tercinta,” tambah kenyataan itu.