BEIRUT, 19 Mac- Serangan Israel menyasarkan gudang yang menyimpan senjata untuk kumpulan Hizbullah di Syria pada Selasa.
Menurut sumber tentera Syria, pertahanan udara telah bertindak memintas beberapa peluru berpandu Israel.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan terbaharu berhampiran ibu negara Damsyik pada Selasa telah memusnahkan senjata dan peluru, menyebabkan letupan dan kebakaran.
Sumber tentera berkata pencerobohan udara Israel telah menyasarkan beberapa kedudukan tentera berhampiran Damsyik.
“Pertahanan udara kami mengambil tindakan dan menembak jatuh beberapa peluru berpandu,” tambah sumber itu.
Badan pemerhati yang berpangkalan di Britain berkata ia adalah serangan kedua seumpama itu dalam tempoh dua hari, selepas serbuan pada Ahad di sebuah lagi gudang senjata Hizbullah dan lokasi berasingan berhampiran Damsyik.
Awal bulan ini, serangan Israel telah membunuh seorang Pengawal Revolusi Iran dan dua orang lain di Banias di pantai Mediterranean Syria.
Israel telah melancarkan ratusan serangan udara di Syria sejak perang saudara meletus pada 2011, yang menyasarkan tentera yang disokong Iran termasuk Hizbullah serta kedudukan tentera Syria.
Serangan meningkat sejak konflik Israel-Hamas pada Oktober tahun lalu.-AFP