(Ismail Sabri dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang
membawa gelaran Datuk Seri Utama)
MELAKA, 24 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai senarai 883 keseluruhan penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam ke-73 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini.
Ismail Sabri dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Turut dikurniakan darjah kebesaran ialah Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Mydin Pitchay yang membawa gelaran Datuk Seri.
Sementara itu, seramai 26 penerima menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira manakala seramai sembilan orang lagi menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.
Antara penerima DCSM adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari dan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman Datuk Zaini Jass sementara penerima DMSM ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia Datuk Isham Ishak dan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah Dr Omar Raisul As-Salam Syah A.S Omar.
Bagi Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang juga membawa gelaran Datuk, seramai 163 penerima termasuklah penyanyi lagenda rock negara Amy Search atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman.
Sementara bagi Darjah Seri Melaka (DSM), anugerah tersebut diberikan antaranya kepada Pengarah Bomba Negeri Melaka Abu Bakar Katain.
Bintang Gagah Perkasa (BGP) dikurniakan kepada Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang lemas dibawa arus deras pada 20 Okt 2021 ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat.
(Penyanyi lagenda rock negara Amy Search atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman antara 163
penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang juga membawa gelaran Datuk)
Selain itu, penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) diberikan kepada Azwan Omar atau dikenali sebagai Abang Viva di atas jasa membantu jasa banjir.
Penganugerahan juga diberikan kepada 71 penerima bagi Bintang Cemerlang Melaka (BCM) diikuti 159 penerima Bintang Khidmat Terpuji , 258 penerima Pingat Jasa Kebaktian, 151 penerima Pingat Bakti Masyarakat dan dua penerima Khidmat Lama.
Upacara berkenaan berlangsung dalam tiga sesi istiadat iaitu pada pagi ini yang berlangsung di Balai Istiadat di Seri Negeri, Ayer Keroh dan dua sesi lagi pada 27 Ogos.
Penerima terdiri daripada anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, ahli politik, ahli korporat, anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan, pengamal media dan ahli badan sukarelawan.