fb fb fb fb fb

IPCC terima 348 aduan sejak berkuat kuasa 1 Julai tahun lalu- Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin ketika sesi soal jawab di Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR, 18 Julai - Sebanyak 348 aduan diterima Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sejak berkuat kuasa 1 Julai 2023.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata daripada jumlah itu, tujuh aduan yang diterima masih dalam proses siasatan.

"Dalam tujuh kes ini anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat aduan terhadap atasannya atau pengadu membuat aduan kerana tiada tindakan ke atas aduan awalnya.

“Ada juga aduan daripada tujuh ini bersifat isu integriti maknanya pemilihan pelantikan pangkat inspektor itu dikatakan ada unsur-unsur yang menjejaskan soal integriti, kemudian ada juga yang bersifat gangguan seksual,” katanya ketika sesi soal jawab di Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berhubung jumlah aduan terhadap anggota polis di bawah akta itu dan keputusan terhadap aduan berkenaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata daripada 348 itu, aduan bersifat jenayah paling banyak diterima antaranya berkaitan kekerasan, gangguan seksual, dadah, pemalsuan dokumen, ugutan serta isu-isu berkaitan integriti, yang tertakluk kepada bidang kuasa Akta Polis 1967 (Akta 344) untuk tindakan lanjut.

Menjawab soalan tambahan Ramkarpal yang mempersoalkan jumlah kes disiasat IPCC, Saifuddin berkata di bawah Seksyen 25 Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839) itu sendiri membenarkan pengelasan kes-kes bagi merujuk kepada pihak berkuasa lain yang juga mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat dan penguatkuasaan.

IPCC yang merupakan Badan Berkanun Persekutuan ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta 839 dan diwartakan pada 18 Oktober 2022, menjalankan fungsi dan kuasa sebagai badan pemantau bebas terhadap pasukan polis dari aspek siasatan aduan berkaitan salah laku.

ZEHRA BINTI ZAMBRI