INTAC 2026: Pemangkin pertukaran budaya dan peluang perdagangan

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Program International Tourism, Art and Culture 2026 (INTAC 2026) yang bakal berlangsung dari 10 hingga 12 Julai depan dijangka menjadi medium pertukaran budaya, membuka peluang perniagaan serta meletakkan Malaysia sebagai hab global industri kreatif dan budaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • INTAC 2026 memperkukuh pertukaran budaya untuk merangsang perkongsian bermakna antara pemain tempatan dan antarabangsa.
  • Acara ini membuka peluang perdagangan dan perniagaan bagi sektor pelancongan, seni, hospitaliti dan industri kreatif.
  • Kerajaan dan sektor swasta digalakkan bekerjasama bagi mengukuhkan ekosistem industri dan menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chiew Choon Man, berkata program berkenaan mampu merangsang perkongsian bermakna antara pemain industri tempatan dan antarabangsa, selain menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Dengan tema “Merapatkan Budaya, Menginspirasikan Perdagangan”, acara ini menonjolkan bagaimana pertukaran budaya dapat memacu perkongsian yang bermakna, membuka peluang perdagangan dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan, katanya”

Menurut beliau, INTAC 2026 turut menyediakan peluang strategik kepada pemain industri untuk memperluas jaringan perniagaan, merangsang inovasi serta memperkukuh ekosistem pelancongan dan budaya negara di peringkat global.

“Dalam hal ini, saya amat menggalakkan pemain industri utama dari sektor pelancongan, hospitaliti, penerbangan, seni, budaya, industri kreatif hingga kepada pelabur untuk merebut peluang ini dan mengambil bahagian secara aktif dalam INTAC 2026.” katanya pada majlis prapelancaran INTAC 2026 di sini.

Beliau menambah, kerajaan komited menyokong inisiatif yang memupuk perkongsian awam-swasta, mengukuhkan ekosistem industri dan menjana kesan ekonomi jangka panjang.

“Saya yakin dengan penyertaan industri dan kerjasama antarabangsa yang kukuh, INTAC 2026 akan muncul sebagai platform serantau terkemuka untuk pelancongan, seni dan budaya, ” katanya.