BESUT, 28 Jun – Malang menimpa sekumpulan penumpang apabila tiga termasuk dua kanak-kanak maut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat ombak kuat berhampiran Pulau Perhentian, malam tadi.
Mangsa yang terkorban ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun serta seorang lelaki dewasa.
Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 10.00 malam apabila sebuah bot pelancong yang membawa 15 penumpang dari Pulau Perhentian Kecil menuju ke Pulau Perhentian Besar hilang kawalan dan terbalik kira-kira 0.05 batu nautika dari Cozy Chalet Resort.
“Kami menerima maklumat insiden ini melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan pada pukul 10.55 malam dan mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada pukul 11.17 malam,” katanya.
Setibanya pasukan penyelamat di lokasi, semua mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang bertindak pantas memberikan bantuan kecemasan awal.
Kesemua penumpang terdiri daripada sembilan dewasa,lima lelaki dan empat wanita berusia 19 hingga 57 tahun serta enam kanak-kanak berumur antara tiga hingga 11 tahun.
Mangsa terselamat telah dibawa ke Jeti Pelancong Besut menggunakan bot Maritim Malaysia PENGGALANG 45 sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Siasatan terperinci sedang dijalankan oleh pihak Maritim Malaysia bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk aspek pematuhan keselamatan dan cuaca.
Maritim Malaysia turut menasihatkan semua pengusaha bot pelancongan serta orang awam agar mematuhi prosedur keselamatan, setiap masa, serta menyemak ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan laut.