fb fb fb fb fb

Inisiatif ‘Makkah Route’ lambang kepercayaan kerajaan Arab Saudi terhadap pengurusan Tabung Haji

SELANGOR, 22 Jun - Pelaksanaan Program Prapelepasan Jemaah haji menerusi inisiatif ‘Laluan Mekah’ atau ‘Makkah route’ bagi Jemaah Haji Malaysia pada tahun ini melambangkan kepercayaan Kerajaan Arab Saudi kepada pengurusan Lembaga Tabung Haji Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, program ini dilihat berjaya melancarkan pergerakan jemaah, termasuk yang melibatkan imigresen dan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang di Madinah serta Jeddah.


(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary)

"Ini adalah merupakan satu inisiatif yang kita banggakan kerana menjimatkan masa, memudahkan para Jemaah haji, tidak tunggu lama dan dalam masa sekejap tak sampai satu jam mereka dah boleh berada dalam pesawat, urusan untuk semakan akhir passport mereka dalam masa setengah minit ataupun 45 saat sahaja. Alhamdulillah ini adalah merupakan satu perkara yang sangat memudahkan kepada urusan jemaah kita," katanya ketika menghadiri Program ‘Makkah Route’ oleh Kedutaan Besar Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini.

Malaysia merupakan antara negara pertama di dunia melaksanakan program perintis bagi Laluan Mekah sejak tahun 2017 dan pada tahun ini, Malaysia merupakan antara lima negara yang terpilih.

Katanya, Malaysia amat berbesar hati kerana sekali lagi dipilih menyertai program ini di samping empat negara lain iaitu Maghribi, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh.

Tambahnya, selain disiplin yang tinggi, kebolehan jemaah tanah air memahami arahan asas meskipun dalam bahasa Arab dan Inggeris juga menjadi faktor penting di sebalik pemilihan Malaysia.

Setakat semlaam, seramai 6,927 jemaah haji Malaysia telah tiba di tanah suci melalui proses Laluan Mekah.

Media Baharu