fb fb fb fb fb

Inisiatif 'Jom Beli Lokal' bantu PMKS perluas perniagaan

Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Selatan di Iskandar Puteri Convention Center

ISKANDAR PUTERI, 28 Jun- Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 dengan slogan "Jom Beli Lokal", yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), semalam menjadi bukti kerajaan memperkasa produk tempatan.

Inisiatif itu dapat membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memperluas jaringan perniagaan ke seluruh negara.

Tinjauan RTM mendapati, rata-rata peniaga dan PMKS memuji usaha baik yang dilakukan, kerana mempunyai ruang untuk menonjolkan kualiti produk  dan mengurangkan kebergantungan barangan import.

Usahawan PMKS Kamaruzaman Muhammad yang ditemui RTM berkata, kempen yang dilakukan itu memberi ruang kepada peniaga untuk memasarkan produk masing-masing dan membina rangkaian dengan pembeli.

"Pada pendapat saya kempen sebegini bagus, sebagai PMKS kita rasa berbangga kerana pengunjung datang memberi sokongan kepada produk tempatan.

"Dengan adanya jualan Rahamah, ia turut memberi ruang kepada pengunjung untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan. Ini juga akan terus menyumbang kepada ekonomi penduduk setempat khususnya usahawan," katanya.

Bagi Salbiah Basir yang juga usahawan PMKS berkata, peluang itu digunakan untuk terus mendekati pengguna supaya barangan tempatan terus dikenali.

"Program seperti ini sangat bagus. Bagi pendapat saya ia membuka ruang kepada PMKS produk tempatan supaya lebih dikenali.

"Ia juga boleh meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa, negara masih ada barangan tempatan yang boleh dibeli selain bergantung kepada produk import. Barangan tempatan juga setanding dengan barangan import selain lengkap dengan pensijilan," katanya.

Bagi usahawan PMKS, Alinda Rosely, program yang dianjurkan ini memberikan peluang menang-menang kepada peserta dan pengunjung.

"Kempen seperti ini sangat bagus sebab boleh menarik lebih ramai pengunjung sekali gus orang ramai juga tahu kebolehpasaran produk tempatan.

"Barangan buatan Malaysia ini bukan sahaja menawarkan harga rahmah, malah ia turut menepati piawaian," katanya.

Mereka ditemui semasa Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Selatan di Iskandar Puteri Convention Center di sini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI