IPOH, 28 Jun- Seramai 20 orang anak-anak yatim, fakir miskin dan yatim piatu berusia antara 4 hingga 17 tahun Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman Manjoi diraikan kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi, Reappear Malaysia.
Keceriaan jelas terpancar pada wajah penghuni pertubuhan itu apabila menerima kunjungan daripada Reappear Malaysia yang menyampaikan sumbangan barangan makanan asas untuk kegunaan harian.
Anak-anak di pusat kebajikan itu turut berpeluang menaiki motosikal berkuasa besar dan bergambar bersama penunggang sekali gus mencipta satu pengalaman istimewa yang jarang mereka nikmati.
Menurut Pengerusi Reappear Malaysia, Azhar Ngah, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu merupakan acara tahunan kumpulan tersebut.
"Kami berhasrat menjadikan program ini sebagai tradisi tahunan. Setiap kali konvoi atau 'ride' ke negeri-negeri berbeza, kami akan pastikan ada sesi singgah ke rumah anak yatim untuk menghulurkan bantuan dan menceriakan mereka," katanya kepada pemberita di sini.
Program itu dilihat sebagai ruang kepada kegembiraan kepada anak-anak selain menyemai nilai kasih sayang, semangat prihatin dan solidariti dalam masyarakat.
Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman Manjoi telah beroperasi sejak 25 tahun lalu kekal komited membela nasib anak-anak yang kehilangan tempat bergantung.