LONDON, 2 Jun- Sektor komoditi dan minyak sawit bukan sahaja penyumbang yang penting bagi pertumbuhan ekonomi negara malah ia juga memberi manfaat kepada kemampanan persekitaran.
Tegas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof, sektor komoditi turut menyumbang secara signifikan kepada peningkatan taraf hidup rakyat sekali gus mengurangkan kemiskinan.
Jelasnya, industri sawit Malaysia sentiasa berdepan dengan pelbagai tuduhan palsu seperti penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti yang menyumbang kepada kepupusan populasi orang hutan.
Tuduhan tidak benar itu dinafikan menerusi kajian saintifik terkini, jelas menunjukkan aktiviti memburu lebih berbahaya kepada biodiversiti dan bukan peladangan kelapa sawit.
"Jangan hanya percaya cakap saya, institusi penyelidikan bagi produk perhutanan dari Jepun telah mengesahkan minyak sawit dapat menyerap karbon dioksida empat kali ganda lebih baik daripada hutan semula jadi.
Bagi pengasingan karbon pula, minyak sawit jauh lebih baik berbanding soya, biji sawi dan bunga matahari," kata Fadillah ketika berucap pada forum kemampanan minyak sawit antarabangsa bertajuk Perdagangan Mampan Dan Pelaksanaan Perniagaan Bertanggungjawab Dalam Era Global Baharu.
(Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof
berkata demikian dalam forum berkenaan, hari ini)
Forum tersebut dianjurkan KSI Strategic Institute for Asia Pacific turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar serta Pengerusi Kelab Ekonomi ASEAN (AEC), Tan Sri Michael Yeoh.