PUTRAJAYA, 2 Jun - Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 yang berlangsung dari 22 hingga 28 Mei lalu menjangkaui sasaran yang ditetapkan dengan penyediaan kursus melebihi empat kali ganda iaitu sebanyak 21,473 daripada jangkaan 5,000 kursus.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata jumlah penyertaan juga melebihi sasaran iaitu sebanyak 129,312 dengan 503,572 jam latihan telah dilengkapkan berbanding sasaran 125,000 peserta yang akan melengkapkan 500,000 jam latihan.
Selangor menawarkan bilangan kursus terbanyak dengan 36.3 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur 17.3 peratus manakala Johor dan Sabah di tempat ketiga dengan menawarkan 6.5 peratus daripada jumlah kursus keseluruhan sepanjang NTW 2023.

"Sebanyak 44.7 peratus daripada kursus yang ditawarkan adalah kursus dalam talian jarak jauh, diikuti kursus secara fizikal atau bersemuka sebanyak 39.6 peratus dan e-learning sebanyak 10.5 peratus," menurut KSM menerusi kenyataan.
Kursus pendidikan dan latihan merupakan yang paling popular merangkumi 17.8 peratus jumlah kursus diikuti kursus kemahiran insaniah dengan 10.1 peratus manakala kursus berdasarkan teknologi maklumat merekodkan sebanyak lapan peratus.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar menerusi kenyataan sama turut berkata dengan pencapaian tersebut membuktikan rakyat Malaysia minat terhadap bidang ilmu dan kemahiran terutama kemahiran teknikal digital.
"Ini adalah sesuatu yang patut diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia selaras dengan usaha kita untuk mewujudkan bakat dan tenaga kerja yang tangkas dan dinamik untuk jangka panjang," katanya.
Lima kursus paling popular yang ditawarkan sepanjang NTW 2023 adalah Embracing Digital Opportunities, Analysing Data with Tables and Charts in Excel for the Web, AI (artificial intelligence) for Marketing, Social Media Marketing dan Critical Thinking Skills for Professionals.