IPOH, 9 Ogos - Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) menjadi platform kepada ketiga-tiga negara bagi melaksanakan usaha pengurusan lestari sumber semulajadi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pengurusan lestari sumber semulajadi yang dimaksudkan meliputi hutan, air, hidupan liar selain memperkukuhkan kerjasama dalam pengurusan dan pemulihan ekosistem kawasan sempadan.
"Kerjasama di antara ketiga-tiga negera ini perlu ada kefahaman bersama. Contohnya, jika berlaku jerebu, ia akan menjejaskan keseluruhan kita, jadi sebab itu memahami cara kaedah pengurusan hutan itu penting.
"Jadi itu contoh kita katakan bagaimana kolaborasi bagi ketiga-tiga segitiga ini sangat penting dan berlaku sejak sekian lama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerjasama Hijau Sub Wilayah Indonesia-Malaysia-Thailand kali ke-6, di sini.
Menyentuh mengenai mesyuarat tersebut, Saarani berkata objektifnya adalah untuk menyelia dan memantau kemajuan Rangka Kerja Pembangunan Bandar Lestari (SUDF).
Tambah Saarani, mesyuarat juga bertujuan menangani pelbagai cabaran alam sekitar dan sosial dengan menggalakkan pengurusan sumber bertanggungjawab, mengurangkan pencemaran dan sisa serta memupuk masyarakat yang lebih saksama dan berdaya tahan.
Jelas Saarani, kesimpulan dan dapatan yang diperoleh daripada mesyuarat itu akan diumumkan pada Forum Ketua Menteri dan Gabenor yang akan diadakan pada 27 September 2023 di Batam, Indonesia.