
TASEK GELUGOR, 27 Januari – Semua Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan MARA-Japan Industrial Institute (MJII) kini dijenamakan semula dan dikenali sebagai TVETMARA, selaras dengan komitmen kerajaan mengangkat Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai agenda utama negara.
- Semua IKM, KKTM dan MJII dijenamakan semula sebagai TVETMARA untuk memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal MARA.
- Penjenamaan menyokong keperluan industri E&E dengan sasaran melahirkan 60,000 jurutera pakar.
- Silibus dipertingkat kepada High Skill TVET fokus IR 4.0, robotik dan kenderaan elektrik.
- IKM Seberang Perai Utara diangkat sebagai NEST dengan kemudahan voltan tinggi dan kebolehpasaran graduan hampir 100%.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penjenamaan semula melibatkan ketiga-tiga institusi itu bertujuan memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), sekali gus membuka laluan lebih luas kepada pelajar dalam bidang kemahiran berimpak tinggi.
Beliau berkata, langkah penjenamaan semula berkenaan turut menyokong keperluan industri Elektrik dan Elektronik (E&E) negara dengan sasaran melahirkan 60,000 jurutera bagi memenuhi permintaan tenaga pakar tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, transformasi TVETMARA turut melibatkan penambahbaikan silibus sedia ada ke arah High Skill TVET, dengan penekanan kepada bidang masa hadapan seperti Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), robotik dan kenderaan elektrik (EV).
Graduan TVETMARA juga katanya berpeluang menyambung pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tanpa sebarang halangan.
“Ini bukan satu jalan pintas, tetapi jalan yang menggunakan ekosistem pendidikan teknikal yang baharu, dan ini akan memberikan peluang kebolehpasaran pekerjaan mereka terbuka dengan luas kerana semua institusi ini menjalin kerjasama dengan pemain-pemain industri, di mana kita telah mengadakan perjanjian, memorandum of agreement, dengan pemain-pemain industri,” katanya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penjenamaan TVETMARA dan Penubuhan Akademi Pakar Tenaga Elektrik Nasional (NEST) di Institut Kemahiran MARA (IKM) Seberang Perai Utara, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, IKM Seberang Perai Utara kini diangkat sebagai Akademi Pakar Tenaga Elektrik Nasional (NEST) dan bakal berperanan sebagai hab utama melahirkan pakar tenaga elektrik bertaraf antarabangsa.
Akademi itu dilengkapi kemudahan bengkel voltan tinggi (high voltage) antara terbaik di Malaysia bagi menyokong latihan teknikal berimpak tinggi, dengan rekod kebolehpasaran graduan IKM mencecah 100 peratus, mengatasi purata keseluruhan TVETMARA sebanyak 98.7 peratus.